Pada
masa ini, penggunaan laman sosial melalui internet amat popular di
Malaysia. Laman sosial seperti “Facebook”, “My Space”, “Frienster”, dan
sebagainya mendapat perhatian masyarakat di negara ini. Penggunaannya
yang mudah serta senang diakses oleh masyarakat merupakan antara
kelebihannya. Terdapat sesetengah anggota masyarakat di Malaysia yang
telah menjadikan penggunaan laman sosial di internet ini sebagai medium
untuk mengisi kekosongan waktu mereka. Hal ini disebabkan oleh aplikasi
yang terdapat di laman sosial yang canggih dapat menarik perhatian
masyarakat di Malaysia. Secara tidak langsung, penggunaan laman sosial
ini memberikan kesan terhadap gaya hidup masyarakat di Malaysia.
Penggunaan
laman sosial seperti “Facebook” yang meluas dalam kalangan masyarakat
boleh menyebabkan fitnah dan mudah disebarkan kepada semua pengguna
laman sosial tersebut. Sebagai contohnya, negara kita pernah digemparkan
dengan satu berita perceraian yang berlaku dalam akaun facebook. Hal
ini telah mendapat kritikan daripada majoriti rakyat Malaysia yang
menyifatkan bahawa perbuatan sedemikian amat memalukan kita kerana telah
mencemarkan keluhuran peribadi sebagai penganut agama Islam. Selain
itu, implikasi seperti itu telah menyebabkan segelintir pengguna
aplikasi tersebut yang tidak bertanggungjawab dan mencetuskan
kontroversi di alam maya, sehingga mengaibkan seseorang. Jelaslah bahawa
penggunaan laman sosial akan menghakis semangat persaudaraan seerta
mencemarkan kedaulatan negara sebagai negara yang disegani dan
berintegriti.
Kesan
lain penggunaan laman sosial melalui internet menyebabkan berlakunya
banyak penipuan atau pemalsuan. Hal ini demikian kerana, terdapat banyak
kes penipuan yang berlaku terutamanya dalam kalangan remaja perempuan.
Perkara ini disebabkan oleh mereka yang baru dikenalinya melalui laman
sosial. Mereka biasanya akan mengikut semua kemahuan yang diminta oleh
rakan dalam laman sosial tersebut. Sebagai contohnya, perkara ini
berlaku apabila pasangan dalam laman sosial menghantar sistem pesanan
ringkas(sms) untuk membuat temu janji dengan menyatakan tempat dan
masanya. Seterusnya, remaja perempuan tersebut akan pergi ke tempat yang
telah dinyatakan tanpa berfikir panjang. Namun demikian, setibanya di
tempat yang dinyatakan oleh kenalan laman sosial itu, mereka mungkin
ditipu dan ada juga yang telah menjadi mangsa rogol.
Penggunaan
laman sosial juga melahirkan masyarakat yang beku dan lalai dalam
melakukan sesuatu tugasan. Kepelbagaian aplikasi yang menarik seperti
permainan yang terdapat dalam laman sosial mampu menarik minat pengguna
laman sosial tersebut. Hal ini menyebabkan pengguna akan berasa seronok
sehingga leka dan lalai untuk menyempurnakan urusan mereka. Tambahan
pula, penggunaan laman sosial juga memberikan kesan kepada prestasi
kerja dan pelajaran dalam kalangan anggota masyarakat. Hal ini akan
menyebabkan negara kita mengalami kebejatan idea untuk meningkatkan
prestasi negara. Golongan pelajar yang menjadi tunjang kecemerlangan
negara tidak dapat dilahirkan ekoran penggunaannya yang melalaikan
masyarakat. Oleh itu, penggunaan laman sosial akan melahirkan tenaga
kerja yang kurang berkualiti.
Kesan
penggunaan laman sosial yang seterusnya ialah tersebarnya pengaruh atau
unsur pornografi daripada Barat ke dalam kehidupan masyarakat. Unsur
pornografi mudah didapati di laman sesawang internet. Unsur pornografi
seperti bahan bacaan, gambar, dan video mudah diakses dan disebarkan
oleh pengguna laman sosial tersebut. Hal ini demikian kerana, laman
sosial seperti “Facebook” dan “My Space” diakses bukan sahaja oleh
rakyat Malaysia malahan seluruh penduduk di dunia. Selain itu, budaya
Barat seperti “Black Metal”, “Punk”, “Gothic”, dan “Skin Head” akan
menular dalam pemikiran remaja di Malaysia. Perkara ini akan
mempengaruhi remaja untuk meniru budaya sehingga wujud budaya hedonisme
dan gengsterisme di sekolah. Jelaslah bahawa penggunaan laman sosial
dapat mempengaruhi pemikiran anak muda sehingga menghakis nilai-nilai
moral masyarakat.
Penggunaan
laman sosial juga memberikan kesan kepada kedaulatan bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan. Kedaulatan bahasa Melayu akan tercemar ekoran
daripada kemunculan bahasa slanga atau lebih dikenali sebagai bahasa
rojak. Penggunaan bahasa rojak dalam kalangan masyarakat amat
membimbangkan cendekiawan bahasa di Malaysia kerana penggunaanya semakin
meluas. Penularan bahasa rojak ini akan menghakis keaslian dan
nilai-nilai estetika bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara kita.
Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa penggunaan teknologi ini boleh
mencemarkan kedaulatan bahasa Melayu yang menyebabkan kita seperti
ditelan mati emak, diluah mati bapak.
Kesimpulannya,
penggunaan laman sosial melalui internet memberikan kesan terhadap
corak kehidupan masyarakat di Malaysia. Oleh itu, ibu bapa perlu
memainkan peranan penting untuk mengelakkan kesan buruk akibat
penggunaannya kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Selain itu,
masyarakat perlu mempunyai disiplin dan ketahanan diri bagi mengubah
corak hidup dengan menggunakan laman sosial itu untuk kegunaan yang baik
dan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat bagi meningkatkan kecekapan minda
masyarakat supaya menjadi minda kelas pertama. Masyarakat juga perlu
memastikan penggunaan teknologi ini dapat diseimbangkan tanpa berlaku
pengeksploitasian dalam kehidupan bermasyarakat di Malaysia.
Sumber : Cikgu Muhammad Khir Kassim
Well,
ReplyDeleteDfffggg
ReplyDeleteEfnj6
ReplyDeleteOkehh, dh dpt idea nak buat karangan pendek.. Makaseh cg
ReplyDelete