Sunday 18 October 2020

PLOT NOVEL TIRANI : BEB SABARIAH

PLOT NOVEL TIRANI : BEB SABARIAH


Secara keseluruhannya plot drama digarap mengikut kronologi. Terdapat lima peringkat garapan plot iaitu:

Permulaan:

Waheeda Nur Lyana binti Haji Fadhil ialah seorang yang gigih berusaha dan tabah untuk mencapai cita-cita dan sasarannya. Dia tinggal dengan keluarganya di Tajau Emas, Sarawak. Keluarganya mengasaskan industri perkhidmatan pelancongan. Waheeda selalu memandang rendah terhadap diri sendiri kerana wajahnya tidak cantik.  Waheeda memiliki mata yang sepet dan hidung yang pesek. Pada zaman sekolah rendah, Waheeda sering menjadi usikan budak-budak nakal iaitu Si Nuar, Si Man, dan Mat Gusi yang memanggilnya dengan gelaran muka keropok. Setelah menjelang zaman remaja,  Waheeda menaruh keinginan  untuk menjadi cantik walaupun ibunya, Puan Raidah sentiasa menasihati Waheeda agar dia  menghargai wajahnya kerana itulah ciptaan atau hadiah yang diberikan oleh Tuhan. Secara kebetulan, wajahnya mengalami kecederaan setelah diserang oleh seekor monyet belanda ketika sedang berada di dalam pejabatnya bersama dengan sepupunya, Fatimah.  Waheeda telah dikejarkan ke Hospital Besar Kuching bagi mendapatkan rawatan kecemasan. Namun, Dr. Zakaria menyarankan Waheeda mendapatkan rawatan pembedahan kosmetik sekiranya ingin menghilangkan parut tersebut. Oleh hal yang demikian, dia mengambil keputusan untuk menjalani  pembedahan plastik di Singapura bagi mengelakkan sentimen pandangan masyarakat.

 

Perkembangan:

Waheeda telah meninggalkan Sarawak dan bertolak ke Singapura untuk menjalani pembedahan plastik. Di sana, dia tinggal di rumah kawan lamanya, Bazilah di Yinshun Street dan telah mengenali kawan baharu seperti Dr. Zahari iaitu tunangan kepada sahabat baiknya. Waheeda juga mengenali Dr. Alma Chan, Dr. Sirrim Gazizadeh dan Dr. Rushdi (Averose) semasa menjalani pembedahan plastik atau rekonstruksi pada hidungnya di Silicon Medical Centre. Selepas beberapa bulan, dia mendapat pekerjaan baharu di Flamingo Resort semasa dia bercuti di Pulau Sentosa. Dia bekerja sebagai seorang pegawai perhubungan awam. Pada masa itu, dia  mengenali banyak kawan baharu termasuklah Lais dan Halloway. Waheeda juga berkenalan rapat dengan Zahid yang menginap di situ setelah pulang dari Amerika Syarikat. Secara kebetulan, Zahid merupakan anak kepada Dato Yasser yang memiliki Hotel Sri Gading di Sarawak. Syarikat pelancongan Waheeda sering kali melakukan kerjasama dengan syarikat Dato Yasser. Perhubungan Waheeda menjadi semakin serius dan mereka telah dilamun percintaan. Waheeda kemudiannya terpilih untuk mewakili Flaminggo Resort dalam pertandingan Ratu Pelancongan Antarabangsa. Setelah dia memenangi pertandingan tersebut, Waheeda menjadi Ratu Pelancongan Antarabangsa dan semakin sibuk dengan kerjayanya. Akibat kesibukkannya,  Waheeda juga telah jatuh sakit dan terkena selesema sehingga tulang rawan hidungnya runtuh. Selepas masalah hidungnya yang runtuh  selesai, Waheeda pulang ke Sarawak untuk melangsungkan  majlis perkahwinan dengan Zahid. 

 

Perumitan:

Selepas berkahwin, hubungan antara Waheeda dengan Zahid semakin erat. Waheeda ingin memajukan syarikat sektor perlancongannya sendiri. Oleh itu, Waheeda menolak tawaran penggabungan syarikatnya dengan syarikat Dato Yasser. Hal ini menyebabkan Zahid merasakan Waheeda agak bongkak. Kesibukan bekerja juga menyebabkan hubungan mereka tidak rapat lagi.  Mereka terpaksa berjumpa dengan pelbagai tetamu sehingga sentiasa lupa akan janji temu untuk makan tengah hari bersama-sama. Zahid yang sentiasa dilupakan oleh Waheeda berasa sangat marah dan mula  mengesyaki keikhlasan hati Waheeda terhadapnya. Zahid telah menuduh Waheeda curang dan menganggap anak dalam kandungan Waheeda bukan anaknya. Hal ini telah mengakibatkan Zahid sentiasa tidak pulang ke rumah walaupun Waheeda hamil. Semasa Waheeda hendak melahirkan anak, Zahid menghilangkan diri. Raidah berasa tidak berpuas hati terhadap perbuatan Zahid yang membiarkan anak yang baru dilahirkan dan isterinya di hospital.

 

Klimaks:

Hubungan Waheeda dan Zahid semakin meruncing. Hal ini disebabkan sikap pemarah dan sikap cemburu Zahid terhadap Waheeda. Zahid bertambah marah apabila melihat wajah bayi mereka tidak mewarisi kecantikan dirinya apatah lagi Waheeda. Waheeda cuba membuktikan tuduhan Zahid tidak benar dengan menunjukkan keputusan  DNA anaknya yang dapat membuktikan bahawa Izzati ialah anak Zahid ketika Zahid melawatnya di hospital. Hal yang menyedihkan ialah Zahid langsung tidak mahu melihat keputusan DNA itu. Dia menuduh Waheeda mengkhianatinya kerana mempunyai seorang anak dengan lelaki lain.  Hal ini menyebabkan Zahid menceraikan Waheeda dengan talak 1. Akibat penceraian tersebut, Waheeda mengalami migrain meroyan dan kemurungan kerana terlalu mencintai Zahid  serta tekanan emosi. Namun, keluarga Waheeda segera merawat Waheeda dengan membawanya ke Hospital PUSRAWI dan mendapatkan rawatan melalui Dr. Kamariah. Di sana, Waheeda terserempak dengan Lais lalu mencetus idea pembelian Chalet Iwana Iwani di Tanah Tinggi Cameron  melalui Pak Cik Aziz yang merupakan bapa saudara Lais. Waheeda kemudiannya memulakan kehidupan barunya di sana bersama Izzati.


Peleraian:

Waheeda telah berumur 45 tahun tetapi kelihatan wajahnya lebih cantik dan muda berbanding dengan Izzati yang telah berumur 20 tahun sehingga menjadi tanda tanya kepada Izzati. Waheeda menjelaskan kepada Izzati bahawa kecantikan itu adalah tirani yang berumur pendek dan tidak kekal. Walaupun hanya berumur 20 tahun, Izzati telah menamatkan pelajarannya dan mempunyai ijazah. Izzati membantu ibu menguruskan hal ehwal syarikat ibunya di Syarikat Aya-Sajinah. Zahid yang baru pulang dari Los Angeles sedang bercuti di Aya-Sajinah ternampak Izzati dan dia berasa terdapat satu ikatan antara mereka iaitu ikatan antara seorang ayah dengan anak. Zahid bercuti bersama rakan baiknya, Aiman telah meluahkan segala kekesalan dalam hidupnya kepada Aiman termasuklah peristiwa Zahid menceraikan Waheeda kerana bersikap cemburu serta peristiwa dia menolak untuk melihat keputusan ujian DNA anaknya. Zahid juga menceritakan bahawa dia mengalami kemalangan lalu menjadikan dirinya tempang serta tidak mampu mempunyai anak lagi. Akhirnya, Zahid dan Waheeda bertemu. Zahid menyesali segala perbuatannya terhadap Waheeda dan Izzati dan meminta pengampunan daripada Waheeda. Izzati merayu kepada ibunya supaya mengampunkan kesalahan bapanya, Zahid.

6 comments:

  1. terima kasih :)

    ReplyDelete
  2. Babi banyak buatlah pendek sikit

    ReplyDelete
    Replies
    1. buat je la awak ni banyak nye bunyi. cuba bersyukur orang dah mudahkan urusan kau.

      Delete
    2. bodo tak reti bersyukur, dahlah copy kerja orang lepastu banyak bunyi

      Delete
  3. terima kasih sbb tolong mudah kan urusan saya :) semoga allah mudahkan urusan awak jugak :)

    ReplyDelete
  4. terima kasih ⁠♡

    ReplyDelete