Monday 24 July 2017

Peranan Ahli Keluarga dalam Membentuk Amalan Mulia dalam Diri Anak-Anak

"Berikan aku 10 orang remaja waja, pasti aku bisa menggegarkan dunia". Kata-kata penuh semangat dan makna ini telah dilafazkan oleh mantan Presiden Indonesia, Soekarno, yang membawa erti bahawa generasi muda merupakan tonggak dan tulang belakang sesebuah negara. Dalam era pascaglobalisasi yang dilingkari dengan kemajuan alaf digital yang mencabar akal dan minda, anak-anak muda hari ini mudah dipengaruhi unsur negatif daripada media massa serta bahan-bahan bercetak. Sejajar dengan itu, ahli keluarga amnya seperti datuk, nenek, abang, kakak, ibu dan bapa saudara terdekat dan ibu bapa khasnya, perlu sedar tentang peranan mereka terhadap pembentukan sahsiah anak-anak. Anak-anak harus dididik dengan sempurna supaya menjadi insan beretika dan dapat memberikan manfaat kepada masyarakat. Generasi muda hari ini semakin dangkal dengan sifat-sifat dan nilai-nilai kemasyarakatan serta amalan-amalan mulia seperti tolong-menolong, hormat-menghormati dan kesantunan tingkah laku terutamanya terhadap golongan yang lebih tua. Golongan muda merupakan harapan negara, bak kata pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Oleh itu, mereka harus diberi kesedaran tentang kepentingan mengamalkan prinsip moral dan amalam-amalan mulia supaya dapat merealisasikan pelbagai wawasan negara kelak.

Sudah termaktub bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam menyemai kesedaran tentang pentingnya kehidupan beretika. Antara caranya ialah mencurahkan kasih sayang kepada anak sejak mereka kecil lagi. Ibu bapa perlu mengambil berat dan mencurahkan kasih sayang terhadap anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa patut meluangkan masa bersama-sama anak-anak untuk memahami serta mengambil berat tentang kehidupan mereka khususnya pelajaran mereka, hobi serta pergaulan mereka dengan rakan-rakan. Selain itu, ibu bapa patut menjaga anak masing-masing bagai menatang minyak yang penuh. Misalnya, bercerita kepada anak-anak yang masih kecil sebelum mereka tidur serta bergembira sesama anak-anak semasa sambutan hari jadi mereka atau semasa mereka memperoleh kejayaan. Lantaran itu, anak-anak akan membesar dan menjadi manusia yang beradab sopan, ceria serta berkeyakinan diri. Hal ini demikian kerana kehidupan mereka dipenuhi dengan kasih sayang sehingga tiada ruang kosong di hati dan minda untuk diisi dengan perkara-perkara yang memudaratkan. Mereka tidak akan melibatkan diri dengan masalah sosial kerana sedar bahawa perbuatan tersebut akan menyakiti hati ibu bapa. Sebaliknya, mereka menjadi orang yang mempunyai sahsiah yang baik, yakni, menghormati ibu bapa, bersopan santun, dan mendengar nasihat ibu bapa.

Menyusuri prakarsa perdana yang tidak kurang pentingnya adalah ibu bapa perlu menjadi teladan yang baik kepada anak-anak. Ibu bapa patut mengamalkan amalan murni supaya dapat mempengaruhi anak untuk turut berbuat demikian. Tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa merupakan orang yang dipercayai anak-anak. Segala tindak-tanduk serta amalan ibu bapa akan dicontohi anak sejak anak masih kecil lagi. Pendek kata ibu bapalah idola anak-anak. Malah, sekiranya usia anak pertama dalam keluarga jauh berbeza dengan adik-adiknya, maka anak pertama juga berperanan dalam menjadi contoh teladan kepada adik-adiknya dengan bersikap rajin belajar, menghormati ibu bapa, rajin membantu segala kerja rumah dan sebagainya. Jadi, ibu bapa yang mengamalkan pelbagai tabiat buruk seperti merokok, berjudi, berbohong, mencuri dan mengutuk rakan sekerja patut menghentikan tabiat buruk tersebut. Hal ini demikian kerana ke mana tumpahnya kuah, jika tidak ke nasi. Malah, sikap ibu bapa seperti ini sesuai diibaratkan dengan aforisme bijak pandai pujangga lama iaitu bagai ketam mengajar anaknya berjalan lurus. Sudah semestinya pengajaran yang baik tidak akan terkesan dalam diri anak-anak jika ibu bapa bertindak sebaliknya. Anak-anak akan meniru perbuatan ibu bapa mereka. Sememangnya, ibu bapa tidak berhak mendisiplinkan anak  yang merokok dan gemar bermain gajet sehingga lewat malam sedangkan diri sendiri juga berbuat demikian. Anak-anak juga tidak akan mempercayai serta menghormati ibu bapa seperti yang dinyatakan di atas. Justeru, ibu bapa harus menjadi contoh yang baik kepada anak-anak supaya mereka dapat membesar menjadi manusia berguna dan mengamalkan nilai-nilai murni yang ditunjukkan oleh ibu bapa persis kata mutiara bagaimana acuan, begitulah kuihnya.

Tertulis sejak azali lagi bahawa ibu bapa patut memberikan didikan agama kepada anak-anak. Ibu bapa patut membawa anak-anak ke tempat beribadat untuk bersembahyang atau menjalankan pelbagai aktiviti bermanfaat seperti bergotong-royong. Sebagai  contohnya, membawa anak-anak ke masjid untuk bersembahyang bersama-sama. Dengan itu, anak-anak sedar akan kewajiban diri mengamalkan nilai-nilai murni termasuk mentaati perintah agama. Mereka akan dapat membezakan perkara baik dan buruk serta mempunyai disiplin diri untuk melakukan perkara yang betul. Walaupun anak-anak juga sentiasa berhadapan dengan godaan dan cabaran globalisasi, mudah-mudahan mereka  dapat mengawal diri dan tidak mudah terpengaruh dengan gejala negatif seperti pergaulan bebas, memeras ugut, merokok, dan mencuri. Apabila anak-anak mendalami ajaran kitab berdasarkan agama masing-masing, mereka mendapat panduan hidup yang baik serta berusaha mengamalkan nilai-nilai murni kerana sedar bahawa kesudahan yang baik menanti diri mereka. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu menerapkan didikan agama dalam hati anak-anak sejak mereka kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tambahan pula pendidikan agama akan menjadi garis pandu kepada  mereka  agar membesar sebagai  insan bijaksana dan beretika. Menurut ahli sains Albert Einstein, ilmu tanpa agama adalah buta manakala agama tanpa ilmu adalah lumpuh. Hal ini bermaksud, ilmu dunia dan ilmu akhirat haruslah seimbang sekiranya kita ingin membentuk generasi yang padu dari segi fizikal dan spiritual.

Rentetan daripada permasalahan sosial yang kian kronik pada era digital ini, ibu bapa perlu memantau aktiviti yang dijalankan oleh anak-anak terutamanya golongan remaja. Hal ini demikian kerana anak-anak pada usia ini mudah terpedaya sehingga terpengaruh untuk terlibat dalam gejala negatif seperti penyalahgunaan dadah dan kumpulan mat rempit dan kaki lepak. Ibu bapa perlu memberikan perhatian terhadap pergaulan anak-anak. Anak-anak tidak harus bergaul rapat dengan pelajar bermasalah kerana dikhuatiri akan terpegaruh dengan sikap mereka.  Sebaliknya, apabila pelajar berkawan dengan pelajar atau rakan yang beradab sopan, mereka akan menjadi orang yang bersahsiah mulia. Sebagai analoginya, jika kita berkawan dengan pembuat minyak wangi, tentulah kita terkena tempias bauan wanginya, sebaliknya jika kita berkawan dengan si tukang besi, pasti kita turut terkena panas bahang apinya. Walau bagaimanapun,  ibu bapa perlu memantau aktiviti harian serta pergaulan sosial anak-anak kerana sebagai insan yang kurang matang iaitu berdarah setampuk pinang, berusia setahun jagung, kadang kala mereka mungkin tersalah langkah. Jadi, sebagai ibu bapa, kitalah yang paling wajar mendorong mereka kepada jalan kebaikan.

Wahana yang tidak kurang signifikannya dalam membentuk sahsiah amalan mulia dalam diri generasi pewaris negara ialah ibu bapa mengambil inisiatif menghantar anak-anak ke kampung apabila tiba cuti sekolah. Hal ini kerana datuk dan nenek juga berperanan dalam mempengaruhi sikap cucu-cucunya malah berhak untuk memberikan pendidikan secara tidak langsung kepada pewaris mereka. Orang tua kebanyakkan mempunyai prinsip kehidupan dan pengalaman yang tidak ternilai. Sekiranya anak-anak meluangkan masa di kampung, menjalani kehidupan yang sederhana bersama datuk dan nenek, maka banyak yang dapat dipelajari oleh mereka terutamanya nilai-nilai kehidupan masyarakat di kampung. Sudah semestinya kehidupan masyarakat bandar yang dipenuhi dengan kesibukan mengejar materialistik serta sikap individualistik yang tebal bak peribahasa, bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing, amat berbeza dengan kehidupan dengan masyarakat kampung yang memegang prinsip peribahasa, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.  Natijahnya, anak-anak akan terkesan dengan nilai kehidupan masyarakat kampung yang saling bergotong-royong, tegur menegur terutamanya apabila melibatkan aktiviti seperti majlis perkahwinan, majlis berkhatan, majlis cukur jambul dan sebagainya. Prinsip muafakat membawa berkat jelas terpampang dalam kehidupan harian yang akan menjadi contoh nyata kepada anak-anak yang menghabiskan cuti mereka di kampung.


Sebagai menyimpulkan segala intipati pokok perbincangan tentang peranan ahli keluarga dalam menyemai nilai-nilai atau amalan-amalan mulia dalam kehidupan generasi pewaris negara, ahli keluarga amnya, dan ibu bapa khasnya perlu memainkan peranan dalam membesarkan anak menjadi seorang yang bermoral dan bersahsiah mulia. Mutiara kata ada berbunyi, "Mendidik anak yang kecil, ibarat mengukir di atas batu, manakala mendidik anak yang dewasa, ibarat mengukir di atas air." Sudah terang lagi bersuluh, mendidik sahsial mulia kepada anak-anak bukannya mudah dan harus dimulakan seawal kelahiran mereka ke jagatraya ini. Anak-anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya.  Jadikan sabda Iman Al-Ghazali sebagai iktibar , iaitu mendidik anak-anak umpama menanam biji benih. Benih mesti dibajai, disirami dan dimanja dengan penuh kasih sayang, agar membesar dengan subur  dan mengeluarkan hasil. Begitu juga dengan pendidikan anak-anak. Mereka perlu dibelai dengan penuh kasih sayang tetapi akan ditegur jika membuat kesilapan. Peribahasa Melayu menjelaskan, sayangkan anak tangan-tangankan, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan. Semoga didikan ibu bapa yang mantap akan melahirkan  anak-anak yang  keperibadian terpuji, bersahsiah dan   dapat membantu negara untuk merealisasikan visi kudsi negara dan Gagasan Satu Malaysia.
Diubah suai dan dibuat penambahan daripada :-

No comments:

Post a Comment