Saturday 29 September 2012

KARANGAN - SUKAN LASAK


Sukan Lasak


Remaja sekarang memang tahan lasak. Mereka lebih gemar menceburi aktiviti yang lasak dan mencabar. Oleh itu, sekiranya kelasakan mereka tidak dijuruskan ke arah aktiviti yang berfaedah, maka mereka akan melibatkan diri dalam pelbagai gejala negatif yang tidak menguntungkan sesiapa pun. Jadi, untuk mengatasi masalah ini, maka sukan lasak seperti kembara, mendaki gunung, berkayak, dan lumba basikal banyak dianjurkan oleh pelbagai pihak dan sambutannya amat menggalakkan. Oleh itu, aktiviti ini perlu diperluas di peringkat sekolah dengan harapan dapat membentuk individu yang mempunyai ketahanan diri dan berani menghadapi cabaran. Hal ini telah ditegaskan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said supaya belia di Malaysia menceburi bidang sukan lasak sama ada semasa mereka masih bersekolah atau selepas berhenti sekolah. Malah, Kementerian Belia dan Sukan menyediakan pelbagai kemudahan kepada belia untuk menceburi bidang sukan ini. Dengan itu, saya bersetuju dengan pandangan supaya sukan lasak perlu diperkenalkan di peringkat sekolah.

Salah satu faedah memperkenalkan sukan lasak seperti kembara, mendaki gunung, berkayak, dan lumba basikal di peringkat sekolah ialah kita dapat membentuk individu yang mempunyai ketahanan diri dan berani menghadapi cabaran. Hal ini demikian kerana sehingga sekarang remaja dan belia kita tidak mempunyai ketahanan diri dan tidak tahan menghadapi cabaran apabila berada di dunia luar. Dengan itu, kebanyakan mereka terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan ditempatkan di pusat serenti. Oleh itu, mulai tahun 2004, program Latihan Khidmat Negara diperkenalkan dan pelajar lepasan SPM diwajibkan menyertai program ini secara berperingkat- peringkat. Dalam fasa pertama, mereka didedahkan dengan aktiviti luar yang memerlukan tenaga fizikal untuk membentuk mereka menjadi warganegara yang berketahanan tinggi dan sanggup mengharungi cabaran kelak. Oleh itu, saya mencadangkan sukan lasak perlu diperkenalkan di sekolah sebagai usaha untuk membina ketahanan diri dan berdaya juang.

Selain itu, sekiranya sukan ini diperkenalkan di peringkat sekolah, maka kita menyediakan atlet dalam bidang sukan lasak yang boleh mewakili negara ini diperingkat antarabangsa kelak. Hal ini demikian kerana bidang sukan ini perlu diperkenalkan di peringkat awal lagi atau diperingkat sekolah seperti kata peribahasa “ kalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya “. Untuk berjaya dalam pelbagai sukan lasak, bukanlah satu usaha mudah yang dapat dilatih dalam masa setahun dua sahaja, tetapi mengambil masa yang lama. Jadi, sekiranya sukan lasak ini diperkenalkan di peringkat sekolah, maka pelajar yang berminat dalam bidang ini dapat mengasah bakat mereka melalui latihan yang terbimbing semasa di bangku sekolah. Oleh itu, apabila mereka meninggalkan sekolah, mereka masih boleh meneruskan latihan intensif agar boleh mewakili negara dalam acara yang dipilih mereka. Buktinya ialah buat pertama kali Malaysia menampilkan barisan tiga pelumba muda untuk menggalas cabaran dalam dua acara lebuh raya Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) ke – 24 di Bandar Raya Yokaichi di Jepun pada 9 – 16 April 2004. Mereka ialah Sayuti Mohd. Zahit dan Jasmin Ruslan, iaiti pelumba Projek Gemilang 2006 dan Wam Mohd. Najmee Wan Mohamad, iaitu pelumba muda dari Kuaka Lumpur. Penghantaran itu ialah sebahagian dariapda rancangan jangka panjang untuk menggilap pelumba muda bagi memikul lebih banyak tugas besar di peringkat antarabangsa pada masa akan datang. Oleh itu, sukan lasak perlu diperkenalkan di peringkat sekolah supaya kita mencungkil bakat muda untuk digilap dan disinarkan untuk mewakili negara kelak.

Sukan lasak seperti berenang merentasi sungai atau laut wajar diperkenalkan di peringkat sekolah. Buktinya ialah seorang kanak-kanak berusia enam tahun, Salman Ali Shariat Abdul Halim mencipta rekod sukan renang negara apabila Berjaya menyeberangi Sungai Dinding sejauh satu kilometer pada 30 Mac 2004. Salman adalah antara 31 orang peserta yang kebanyakannya orang dewasa yang berjaya menamatkan renangan dalam program cabaran merentasi Sungai Dinding 2004 anjuran Universiti Teknologi Mara (UITM) Cawangan Perak. Perenang berbakat itu turut ditemani oleh dua orang kakaknya, Zahara Mansourah berumur 11 tahun dan Zahara Ma’saunah berusia 12 tahun. Sekiranya kanak-kanak berusia enam tahun dapat melibatkan diri dalam sukan lasak seperti ini, maka tidak mustahil jikalau pelajar didedahkan dengan sukan lasak apabila mereka berada di bangku sekolah. Hal ini dapat dilihat dengan kemampuan Datuk Malik merenangi Selat Inggeris dan beliau menjadi orang Asia yang pertama berjaya berbuat demikian. Oleh itu, sukan dan permainan yang sudah diperkenalkan diteruskan, tetapi sukan lasak seperti kembara, berenang di laut, dan mendaki gunung diperkenalkan di sekolah. Dengan berbuat demikian, maka pada suatu masa kelak, mereka akan sanggup melakukan aktiviti yang mencabar demi menaikkan nama Malaysia di persada dunia.

Akhirnya, dengan menceburi sukan lasak, maka para remaja dan pelajar dapat dijauhkan daripada terbabit dalam kegiatan negatif seperti buli, lepak, dan gangsterisme. Pelajar sekarang tidak berminat dalam aktiviti kokurikulum seperti sukan, permainan, dan olahraga yang diadakan di sekolah kerana aktiviti ini tidak mencabar minda dan fizikal mereka. Mereka mahu melakukan aktiviti yang lebih lasak dan mencabar supaya mereka dapat memperagakan diri dan kebolehan mereka di khalayak ramai. Bermain bola sepak, bola jaring, dan sepak takraw dianggap oleh mereka tidak sesuai lagi pada zaman ini. Oleh itu, terdapat ramai remaja yang menceburi permainan boling, memanah, lumba motosikal. Dan sebagainyadi luar waktu persekolahan. Apabila menyentuh hal ini, maka Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. mohamad Khir Toyo ketika berucap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Panjang, Kapar mengatakan bahawa guru masih ingin pelajar bermain bola dan olahraga, tetapi pelajar pada hari ini lebih berminat kepada sukan ekstrem atau sukan lasak yang tiada di sekolah. Beliau berkata, ”dikatakan sukan ini melahirkan generasi tidak sopan sedangkan jika ada di sekolah, maka sukan ini dapat memenuhi kehendak mereka dan sekali gus membolehkan mereka mengisi masa lapang dengan kegiatan yang diminati dan menjauhkan mereka daripada terbabit dengan aktiviti lain yang tidak sihat.” Jadi, usaha untuk memperkenalkan sukan lasak di sekolah perlu dimulakan dari sekarang.

Tuntasnya, sukan ekstrem atau sukan lasak yang digemari oleh pelajar dan tidak membahayakan diri mereka wajar diperkenalkan di sekolah kerana kita mahu generasi muda kita membabitkan diri dalam bidang sukan ini. Malah, sukan lasak perlu dipertandingkan di peringkat daerah dan kebangsaaan supaya kita dapat mengenal pasti bakat generasi muda dan mengasah bakat itu. Dengan itu, kita mempunyai barisan pelapis untuk mewakili negara dalam pelbagai sukan lasak di peringkat antarabangsa. Akhirnya, saya menegaskan bahawa sukan lasak perlu diperkenalkan di peringkat sekolah kerana peribahasa mengatakan “Melentur buluh, biarlah dari rebungnya”.
TERIMA KASIH KEPADA NUR AZIZAH ARRYANIE BINTI MORSHIDI

KARANGAN - Peranan pemimpin-pemimpin negara di dunia untuk mewujudkan keamanan sejagat.

Pergolakan yang berlaku di beberapa buah negara di dunia telah menggugat keamanan dan keharmonian masyarakat.
Bincangkan peranan pemimpin-pemimpin negara di dunia untuk mewujudkan keamanan sejagat.

Pendahuluan : “Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah”. Petikan daripada peribahasa tersebut mendedahkan betapa besar sungguh impak daripada para pemimpin. Elok pemimpin eloklah rakyat, sebaliknya apabila pemimpin rosak maka rakyatlah yang akan menanggung sengsara. Pergolakan dan kempen berdarah yang melanda negara-negara Timur Tengah benar-benar mendedahkan tembelang buruk para pemimpin yang gagal menguruskan negara dan rakyat masing-masing. Demi keamanan sejagat, para pemimpin di seluruh dunia hendaklah insaf bahawa mereka ialah penentu sama ada dunia ini sebagai syurga kehidupan ataupun menjadi pentas neraka yang sengsaranya bertimpa-timpa ibarat lautan yang tidak bertepi.

Isi-isi penting :
Isi 1 :  Para pemimpin harus sedar mereka sebenarnya memikul amanah bukan sebagai penyebar fitnah – sedar akan tanggungjawab kesengsaraan yang terpaksa ditanggung oleh berjuta-juta manusia berpunca daripada pemimpin – peristiwa Perang Dunia adalah berpunca daripada sikap tidak bertolak ansur antara blok ‘Triple Antante dan Triple Alliance’
Isi 2 : Pemimpin mesti peka terhadap order dunia sekarang yang lebih mengutamakan kebijaksanaan daripada kekerasan dan keganasan – kejatuhan beberapa pemimpin di negara-negara Timur Tengah boleh dijadikan iktibar
Isi 3 : Pemimpin-pemimpin blok negara kaya bertanggungjawab menyelamatkan kesengsaraan di negara-negara miskin dan tertindas – membantu atas dasar kemanusiaan bukan atas dasar muslihat politik
Isi 4 : Badan Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hendaklah diberi lebih peranan untuk menghalang penindasan pihak tertentu – kuasa veto kumpulan negara kuasa besar tidak wajar diamalkan
Isi 5 : Wujudkan musyawarah dan baiah pemimpin seluruh dunia bahawa dunia ini sebagai tempat keamanan dan berkasih sayang – elakkan sikap tamak dan gila akan kuasa
Kesimpulan : Berdasarkan kata-kata daripada Nabi SAW yang bermaksud, “ Tingkah laku rakyat adalah bergantung kepada tingkah laku pemimpin” membuktikan bahawa peranan pemimpin adalah amat besar dalam menerajui order dunia. Kebobrokan dunia yang terjadi pada hari ini bukanlah berpunca daripada malapetaka alam mahupun kemiskinan dan sebagainya, tetapi akibat tiada sikap tolak ansur antara pemimpin. Oleh itu, sesat di hujung jalan baliklah ke pangkal jalan.


KARANGAN - Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara

Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara
Berdasarkan pernyataan di atas, huraikan persediaan-persediaan yang perlu dilakukan oleh remaja untuk merealisasikan cabaran tersebut.
Pendahuluan : Tokoh pendidik dan motivasi terulung negara, Aminudin Baki pernah menyatakan, “Ayam dikepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan”. Kata-kata tersebut benar-benar menyuntik kesedaran kita agar insaf dan bangkit segera daripada lamunan. Sebagai anak nusa yang mempunyai jati diri, kita dibebani amanah  untuk menggalas tanggungjawab kepada negara. Pemuda dan pemudi hendaklah segera bangkit dengan persediaan mental dan fizikal supaya dapat menjadi aset yang paling bernilai kepada tanah air tercinta.
Isi 1 : Bersedia menjadi orang muda yang beriman dan bertakwa kepada Allah – ketakwaan menjadikan kita lebih patuh, bersedia dan tinggi motivasi – kita mempunyai garis panduan dan hala tuju yang jelas
Isi 2 : Memperlengkap diri dengan pakej fizikal, mental, emosi dan sahsiah yang baik – memenuhi prakarsa untuk memperlengkap diri sebelum boleh memberikan sumbangan
Isi 3 : Memanfaatkan usia muda untuk berjuang di medan ilmu – memperlengkap diri dengan ilmu yang strategik dengan tuntutan masa – belajar tanpa jemu dan mesti cemerlang
Isi 4 : Mengenali potensi diri – memilih bidang kemahiran dan profesional yang sesuai dengan bakat dan minat – sebagai set lengkap yang digabungjalinkan dengan ilmu bagi memenuhi tuntutan pasaran kerja
Isi 5 : Insaf akan tanggungjawab menyelamatkan negara – bersemangat waja dan berjiwa patriotik – utamakan kepentingan negara daripada kepentingan diri dan kelompok
Isi 7 : Menjauhkan diri daripada anasir perosak – gejala samseng, dadah, berpelisiran dan sampah masyarakat dan membebankan negara

Kesimpulan :
Rumah kecil tiang seribu
Rumah besar tiang sebatang
Kecil-kecil ditimang ibu
Sudah besar ditimang gelombang
Demikianlah erti sebuah kehidupan yang menuntut banyak perjuangan dan pengorbanan. Oleh itu, kita harus bersedia untuk berhadapan dengan gelombang kehidupan yang kadang-kadang lebih mencabar daripada gelombang di tengah segara. Bukan senang untuk menjadi warga yang berguna kepada bangsa, agama dan negara, sebaliknya kita dituntut untuk melakukan persediaan yang rapi.




KARANGAN - Peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak supaya menjadi insan yang mementingkan kebersihan

Berdasarkan pernyataan di atas, jelaskan peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak supaya menjadi insan yang mementingkan kebersihan dalam kehidupan seharian.

Pendahuluan : Memetik sepotong peribahasa yang menyatakan, getah daun akan mengalir ke batang jua, menunjukkan bahawa anak-anak sudah pasti menuruti ibu bapa dalam hal tingkah laku dan sikap. Mengambil iktibar daripada peribahasa tersebut, amatlah penting kepada ibu bapa untuk menanami anak-anak dengan segala bentuk amalan yang positif seperti amalan berjimat cermat, kebersihan, dan budaya hormat-menghormati. Pelbagai langkah dan inisiatif perlu dilagangkan oleh ibu bapa agar anak-anak akan lahir daripada acuan tingkah laku yang baik yang dijanakan oleh ibu bapa. Hal sama pasti boleh dilaksanakan untuk melahirkan anak-anak yang sentiasa mementingkan kebersihan dalam kehidupan seharian.

Isi-isi penting :
Isi 1 : Menjanakan amalan kebersihan bermula di rumah – mendidik anak-anak agar sepanjang masa berada dalam persekitaran rumah tangga yang bersih, indah dan ceria – sebagai sumber inspirasi sejadi anak-anak masih kecil

Isi 2 : Ibu bapa sebagai sari contoh teladan – imej dan pancaran personaliti ibu bapa sentiasa diperhatikan oleh anak-anak (ibu bapa sebagai role model)

Isi 3 : Melaksanakan pendidikan rohani dengan mendekatkan diri anak-anak kepada Tuhan maha pencipta yang sangat bersih dan cantik (peribahasa Arab, Allah itu cantik dan amat menciptai sesuatu yang mencantikkan)

Isi 4 : Mendedahkan anak-anak dengan persekitaran yang bersih dan cantik – menunjukkan contoh bilik tidur, tempat makan, dan tandas lima bintang seperti di hotel dan pusat pameran seperti Casa Impian dll.

Isi 5 : Mendedahkan anak-anak dengan landskap yang cantik dan selesa mata memandang – konsep bersih diperluas bukan sahaja di dalam rumah tetapi kepada kehidupan yang lebih menyeluruh – aktiviti keluarga membina taman mini dan landskap rumah.


Kesimpulan : Sesungguhnya, tepatlah kata-kata bahawa, anak-anak apabila diajar erti kasih sayang mereka akan belajar mengasihi, apabila diajar erti kebaikan mereka akan belajar bertanggungjawab, dan apabila mereka diajar erti kebersihan mereka akan belajar menjadi harmoni. Oleh itu, ibu bapa sentiasa menjadi sumber rujukan dan terminoogi utama untuk menentukan jati diri anak-anak. Baik perihal yang ditunjukkan, justeru baiklah anak-anak.

KARANGAN - CIRI-CIRI PEMILIHAN RAKAN SEBAYA

Rakan sebaya memainkan peranan penting dalam kehidupan seseorang remaja.
Sebagai seorang remaja, jelaskan ciri-ciri rakan sebaya yang menjadi pilihan anda.

Pendahuluan :
Dipetik daripada kata-kata dalam sepotong Hadith Nabi SAW yang bermaksud, “Pilihlah rakan yang betul. Sekiranya kamu bersahabat dengan seorang penjual minyak wangi nescaya bauan kasturinya akan terkena kepada kamu. Tetapi, apabila kamu bersahabat dengan seorang tukang besi nescaya bau tengik besi akan terpalit juga kepada dirimu”. Demikianlah betapa pentingnya pengaruh rakan dalam kehidupan kita. Sebagai remaja dalam alaf baru ini saya tidak boleh lari daripada bersahabat kerana sahabat menjadi resepi utama untuk menentukan arah tuju kita. Walau bagaimanapun, sebagai remaja yang berwawasan, saya harus bijak memilih rakan kerana rakan ketawa beramai-ramai, tetapi rakan menangis seorang diri. Banyak ciri rakan yang baik harus saya telitikan agar rakan tidak menjadi lawan pada hari kemudian.
Isi-isi penting :
Isi 1 : Rakan sebaya yang memiliki iman dan taqwa (takwa) terhadap Tuhan maha pencipta – orang bertakwa ialah orang yang baik – memiliki wawasan dunia dan akhirat
Isi 2 : Rakan sebaya yang bijak dan pintar – boleh membantu saya terutama dalam menyelesaikan masalah dalam pelajaran (peribahasa, meminta pada yang ada bertanya pada yang tahu)
Isi 3 : Rakan sebaya yang berakhlak mulia – memiliki nilai-nilai peribadi yang luhur – sentiasa berfikiran terbuka dan banyak membimbing kita ke jalan yang benar
Isi 4 : Rakan sebaya yang sealiran – memiliki minat dan cita-cita yang sama – dapat saling bertukar fikiran tentang cita-cita dan masa depan (peribahasa,berlapik seketiduran, sebantak sekalang hulu = sangt akrab seia sekata)
Isi 5 : Rakan sebaya yang berprinsip dan teguh jati diri -  tidak mudah terjebak ke dalam angkara yang memudaratkan – ampuh bertahan daripada segala anasir yang tidak baik (peribahasa, ampuh bak ikan di laut walaupun sepanjang hayat badannya tetap tidak masin)
Kesimpulan :
Sesungguhnya, setiap insan yang berjaya sentiasa didorong oleh minat dan keinginan untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang. Antara elemen kecemerlangan ialah bermotivasi, beriman, berilmu dan memperoleh rakan pembimbing yang baik. Oleh itu, saya akan berusaha untuk memilih rakan-rakan yang memiliki ciri-ciri insan terpilih.

Friday 28 September 2012

CONTOH KARANGAN PIDATO- “ 1 Malaysia : Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan ”

Contoh pidato “ 1 Malaysia : Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan ”

Putera kepada tokoh terbilang,
Lahir di Lipis, membesar di Pekan,
1 Malaysia formula dicanang,
Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Setelah saya memperdengarkan pantun tersebut saya pasti, sudah ramai yang mengetahui wajah tampan yang terselindung disebaliknya. Beliau adalah Perdana Menteri kita yang Ke-6, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak. Dilahirkan pada 23 Julai 1953 di Kuala Lipis, Pahang, beliau kemudiannya tumbuh dan membesar di Pekan , Pahang. Pengalaman menyaksikan perjuangan serta aliran politik negara ketika pemerintahan ayahanda tercinta, Allahyarham Tun Haji Abdul Razak, menjadikan beliau berinspirasi untuk berbakti kepada masyarakat juga negara. 

Yang dimuliakan Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Pensyarah Bahasa Melayu Kontekstual, Encik Dzulkarnain Bin Mat, Yang berusaha Ketua Unit Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Seni Visual, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris (2) Semester 3, serta para hadirin yang saya hormati. Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada pagi yang mulia ini, saya ingin memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan kerana memberikan peluang kepada saya untuk menyampaikan sebuah pidato yang cukup bermakna dan penuh perisian. Insya-Allah. Tajuk pidato yang ingin saya sampaikan pada pagi ini ialah “ 1 Malaysia : Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan ”. Sebelum saya berbicara dengan lebih lanjut tentang tajuk ini, rasanya elok benarlah saya merungkai mutiara makna atau definisi tentang apa yang diertikan dengan konsep 1 Malaysia yang sebenarnya.

Hadirin yang saya kasihi sekalian,
Menurut penjelasan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, konsep 1 Malaysia adalah merujuk kepada cara kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia atau One People. Tindakan-tindakan yang kita ambil perulah berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam Negara kita. Meskipun begitu, dasar afirmatif yakni dasar untuk menolong kaum Bumiputera tidaklah diketepikan namun sebaliknya dilaksanakan dengan cara adil dan saksama. Pertimbangan yang diberi kepada golongan Bumiputera yang layak wajar mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan. Kita akan keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama.

Konsep 1 Malaysia menuntut pemimpin dan setiap warganegara untuk memainkan peranan masing-masing disamping melibatkan nilai tambah dan pembaharuan. 1 Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’‘1 Malaysia’ memerlukan kepimpinan yang bijak menafsir dan memahami tugasan yang diberi serta dan rakyat yang berintegriti tinggi. Sifat jujur, bercakap benar, telus, ikhlas, amanah dan berkebolehan amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara. 1 Malaysia turut menjadi pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan dalam kalangan rakyat.

Hadirin yang dimuliakan,
Konsep 1 Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya Konsep 1 Malaysia ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin Kerajaan menjalankan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat. Konsep 1 Malaysia berbeza dengan konsep Malaysian Malaysia kerana di samping menjaga kepentingan semua kaum, konsep ini juga menekankan soal integrasi dan pengwujudan bangsa Malaysia. 1 Malaysia tidak hanya terbatas kepada kesamarataan hak tanpa mengambil kira realiti dan sejarah negara Malaysia seperti yang dibawa oleh Malaysian Malaysia. Konsep Malaysian Malaysia adalah dasar yang mahu menggagalkan terus asas binaan kemasyarakatan yang wujud buat sekian lama. Keadilannya diambil secara membuta tuli dengan mengambil konsep kesamarataan versi total. Tetapi konsep 1 Malaysia lebih kepada mengharmonikan rakyat dalam ruang lingkup yang berbeza.

Sebenarnya konsep 1 Malaysia tetap berkait dengan dasar-dasar kerajaan yang terdahulu. 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan, adalah kesinambungan daripada dua konsep yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri terdahulu dan bukanlah suatu perkara baru. Sebaliknya “1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, merupakan satu usaha yang telah lama diamalkan iaitu usaha-usaha memelihara dan menjaga kepentingan rakyat serta negara. Usaha ini sudah lama dilaksanakan sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Kemudiannya, usaha ini disambung oleh Perdana-Perdana Menteri seterusnya. Meskipun setiap Perdana Menteri mempunyai gagasan tersendiri, namun matlamatnya tetap sama iaitu untuk rakyat dan juga negara.

Saudara dan saudari,
‘1 Malaysia’ akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang terpamer melalui slogan YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan. Konsep yang bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran. Melalui konsep ‘1 Malaysia’ ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara.

Untuk menjayakan konsep ini, semua rakyat Malaysia perlu mendasari prinsip-prinsip utama 1 Malaysia iaitu kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging). Nilai-nilai murni yang diterapkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam konsep ‘1 Malaysia’ juga perlu diamalkan. Nilai-nilai murni ini dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Nilai-nilai tersebut adalah budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan serta integriti.

Hadirin yang budiman sekalian,
Pengamalan budaya cemerlang akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian masyarakat dan negara bergantung setakat mana budaya kecemerlangan diamalkan oleh rakyatnya. Setiap perjuangan atau pelaksanaan kerja pula memerlukan ketabahan dan ketekunan mereka. Perjuangan untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan negara amat memerlukan pemimpin dan rakyatnya tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan. Disamping itu, rasa rendah hati adalah satu sifat yang penting untuk dimiliki. Sifat merendah diri amat digalakkan dalam ajaran Islam begitu juga dengan budaya dan sifat masyarakat Melayu yang menghormati orang yang merendah diri iatitu dikenali sebagai Tawaduk’. 

Konsep penerimaan dan toleransi pula adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada ungkapan mahupun pelaksanaan. Penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas tanpa ada unsur-unsur terpaksa. Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa. Perlakuan atau sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan lain dan ianya diterima dengan ketidakjujuran. Prinsip kesetiaan turut amat diperlukan dalam apa jua keadaan. Kesetiaan kepada Raja dan Negara adalah prinsip kedua Rukun Negara wajib dipegang erat oleh setiap rakyat negara ini tanpa berbelah bahagi. Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. 

Hadirin hadirat yang dirahmati,
Meritokrasi merupakan satu hala tuju yang perlu diamalkan dalam negara demokrasi bagi memastikan mereka yang layak dan memenuhi kriteria diberi peluang untuk memacu pembangunan negara. Pendidikan dan pengetahuan pula adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan. Kekuatan dan ketahanan adalah berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan. Juga adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Kepercayaan dan keyakinan diperoleh melalui nilai-nilai integriti. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak daripada pemimpin sehingga semua peringkat tanpa mengira kedudukan.

Peranan yang dijayakan rakyat akan mendapat manfaat dari komitmen kerajaan mlelalui tema "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" sebagai sebahagian dari konsep 1 Malaysia. Hal ini bermaksud bahawa di samping menekankan peri-pentingnya perpaduan rakyat Malaysia, kerajaan juga akan memberikan keutamaan kepada isu-isu yang dianggap penting oleh rakyat. Kerajaan juga menekankan prestasi dan pencapaian oleh semua kakitangan nya apabila berurusan dengan rakyat. Dalam kata lain, kerajaan amat memahami betapa pentingnya kecekapan dan kualiti perkhidmatan awam dalam meningkatkan mutu hidup rakyat justeru itu pendekatan mesra-rakyat akan diberi keutamaan oleh semua agensi-agensi kerajaan.

Hadirin yang saya hormati,
Tampaknya masa begitu cemburu dan berlalu pantas meninggalkan kita. Tidak dapatlah saya berpidato dan mengulas dengan lebih panjang lebar lagi. Sebelum mengundurkan diri, saya ingin menyeru kepada diri saya sendiri serta haridin hadirat sekalian agar yakin dengan konsep yang dibawakan YAB Perdana Menteri. Sudah terang lagi bersuluh bahawa konsep “1 Malaysia : Rakyat didahulukan, pncapaian diutamakan” adalah satu pakej lengkap yang mampu menjamin keharmonian dan pembangunan Malaysia yang mapan sekiranya kita semua, yakni rakyat Malaysia memberikan kerjasama juga komitmen padu.
Sekian, terima kasih.


Sumber: Atin Syuhada

CONTOH KARANGAN PIDATO - Memartabat Bahasa Melayu

Pidato Memartabat Bahasa Melayu

            Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan selamat sejahtera.

            Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Dihormati saudara Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, tetamu kehormat, guru-guru, rakan-rakan pelajar dan seterusnya hadirin sekalian.
            Pada pagi yang mulia ini saya akan menyampaikan pidato yang bertajuk “Memartabatkan Bahasa Melayu.” Sesuai dengan Slogan 1Malaysia, kita juga harus menguar-uarkan slogan “Bahasa Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Sesuai dengan statusnya sebagai bahasa rasmi dan digunakan dengan meluas, bahasa Melayu memang perlu diutamakan dan dipertahankan. Tambahan pula bahasa Melayu juga merupakan bahasa yang digunakan sebagai alat untuk perpaduan kaum di negara kita. Oleh itu, bahasa Melayu perlu dimartabatkan untuk menjadikannya lebih berkualiti dan mampu bersaing dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Selain itu, kita berharap agar bahasa Melayu akan menjadi bahasa yang dinamik dan sentiasa mengalami proses penambahbaikan untuk menjadikannya lebih relevan mengikut arus perubahan zaman.
Saudara saudari yang dihormati sekalian,
            Indikator saya yang pertama adalah memupuk kesedaran kepada anak-anak sejak kecil. Antara usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu adalah dengan memupuk kesedaran tentang pentingnya bahasa Melayu kepada anak-anak sejak kecil. Oleh itu, kesedaran tersebut perlulah ditanam dalam diri anak-anak sejak kecil. Dalam hal ini sudah tentu peranan tersebut perlu dimainkan oleh ibu bapa dan guru-guru. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah menggunakan bahasa Melayu yang betul apabila bertutur dengan anak-anak. Ibu bapa juga haruslah menerangkan kepentingan bahasa Melayu di negara kita dan juga sejarah bahasa Melayu yang telah dijadikan lingua franca pada zaman keagungan kerajaan Melayu Melaka pada kurun ke-15. Sekiranya kesedaran ini dapat dipupuk sejak kecil, seperti kata pepatah, “Kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.” sudah pasti hasilnya akan berkekalan hingga dewasa dan sampai bila-bila.
Hadirin sekalian,
            Indikator saya yang kedua adalah melalui kempen dan peranan media massa. Pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam perkara ini perlulah menjalankan kempen untuk memartabatkan bahasa Melayu. Pihak yang bertanggjawab dalam hal ini iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) haruslah menjalankan kempen yang berkesan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat agar cinta akan bahasa Melayu. Sebagai contohnya, pihak DBP perlu bekerjasama dengan pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi awam atau swasta yang lain untuk menjalankan aktiviti yang menjurus ke arah memartabatkan bahasa Melayu. Media massa turut memainkan peranan untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan anggota masyarakat. Hal ini demikian kerana, media massa memang berkesan dalam mempengaruhi orang ramai. Oleh hal yang demikian, sudah pasti perkara ini akan membuahkan hasil dan dapat meningkatkan penggunaannya dalam kalangan masyarakat di negara kita. Sekiranya penggunaan bahasa Melayu semakin meluas digunakan sudah tentu bahasa ini setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia Perkara ini dapatlah disamakan seperti kata pepatah, “Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi” dengan bahasa-bahasa antarabangsa yang lain di dunia ini.
Rakan-rakan dan hadirin sekalian,
            Indikator saya yang ketiga ialah akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menurut Akta 32 iaitu Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, pindaan 1994, perlulah diperkasakan. Dengan perkataan lain, kerajaan perlulah menguatkuasakan akta parlimen ini iaitu akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan pada papan tanda atau iklan. Secara tidak langsung, pihak swasta juga perlu patuh akan akta atau undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu ini. Hal ini dibuktikan melalui kenyataan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pada 18 Oktober 2009, iaitu Pejabat Peguam Negara sedang meneliti pindaan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 Dan Akta Pendidikan 1996 bagi memberi kuasa kepada DBP untuk mendenda sektor awam dan agensinya yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan mereka seperti pengendalian mesyuarat, penyediaan minit mesyuarat, urusan surat-menyurat dan majlis rasmi. Perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana kesalahan penggunaan bahasa tersebut menyebabkan mereka boleh didakwa dan seterusnya didenda. Oleh hal yang demikian, sudah pastilah bahasa Melayu akan dapat dimartabatkan di negara kita.
Hadirin sekalian,
            Indikator saya yang keempat ialah memperkasakan peranan pihak penguatkuasa. Pihak berkuasa seterusnya perlu memberikan kuasa yang mencukupi kepada pihak penguatkuasa atau pemantau semasa menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu. Pihak penguatkuasa ini sepatutnya dibenarkan untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang ingkar atau tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Sebagai contohnya, pihak penguatkuasa bahasa ini perlu diberikan kuasa untuk menyaman, mendenda atau mendakwa pihak yang tidak mengikut undang-undang atau peraturan yang berkaitan dengan pelaksanaan bahasa Melayu seperti yang telah diluluskan oleh parlimen. Keadaan ini sudah pasti akan dijadikan sebagai pengajaran dan menakutkan pihak yang tidak mematuhi peraturan yang berkaitan dengan bahasa Melayu. Hal ini sudah tentu akan memberikan impak kepada pihak yang tidak mementingkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam urusan seharian.
            Kesimpulannya, sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu perlulah dipergiat dari sekarang. Selain itu, semua pihak perlulah berganding bahu untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu tanpa mengira kaum. Sekiranya perkara ini tidak diberikan penekanan, ditakuti nanti bahasa Melayu akan dipinggirkan daripada menjadi bahasa utama yang juga menjadi bahasa rasmi negara kita. Jadi, marilah kita bersama-sama memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu agar bahasa ini akan terus berkembang dan ditingkatkan martabatnya dengan menguar-uarkan slogan “Bahasa Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.
Sekian sahaja pidato saya kali ini, dan saya ingin memohon maaf sekiranya tersilap kata dan terdapat tutur bicara yang kurang sopan semasa saya menyampaikan pidato tadi.

Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.

sumber: Atin Syuhada

KARANGAN PIDATO - Fungsi Bahasa Melayu

Tajuk : "Fungsi Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Bahasa Rasmi, Bahasa Perpaduan, Bahasa Pengantar, Bahasa Ilmu dan Bahasa Komunikasi Rakyat Malaysia.”
                    
                       Pucuk manis permatang budi,
                             pucuk purut digetus rusa;
                       Yang manis bernama budi,
                             Yang indah bernama bahasa.

Terima kasih saudara pengerusi majlis. Yang berbahagia Tuan Haji Abdul Rahman bin Abdullah, pengarah Institut Humaniora Malaysia, kombinasi para juri yang arif lagi bijaksana sebagai penegak keadilan, penjaga masa yang budiman, para pensyarah, dan seterusnya hadirin-hadirat warga dewan yang saya kasihi sekalian. Assalamualaikum Warohmatullahi Wabarokatuh dan salam sejahtera pembuka bicara.

Berdirinya saya di atas persada indah dalam Dewan Wawasan ini, tidak lain dan tidak bukan, kerana ingin menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk, "Fungsi Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Bahasa Rasmi, Bahasa Perpaduan, Bahasa Pengantar, Bahasa Ilmu dan Bahasa Komunikasi Rakyat Malaysia.” Sebagaimana bervisinya nama dewan yang mulia ini, demikian juga visi yang akan saya tunjuk kepada tuan-tuan betapa bahasa Melayu, sebagaimana bahasa-bahasa lain juga, mempunyai fungsinya yang tersendiri.

Sebelum lancang menuju ke muara, sebelum kata membelah bicara, sebelum isi menyusur hujah, izinkan saya mendefinisikan frasa yang membina tajuk pidato agar hadirin terbuka minda, agar hakim tidak terpinga-pinga, dan saya petah berkata-kata, seperti kata orang dahulu kala;


                       Yang buta tidak teraba-raba,
                       Yang pekak tidak tertanya-tanya,
                       Yang kecil tidak terambin-ambin,
                       Yang pendek tidak tertinjau-tinjau.

Menurut Kamus Dewan (2006), istilah ‘fungsi’ bolehlah didefinisikan sebagai tugas atau peranan. Manakala maksud ‘bahasa’ pula ialah satu sistem lambang-lambang yang arbitrari, mempunyai makna dan difahami maknanya, dan digunakan oleh sekelompok masyarakat dalam komunikasi mereka. Daripada maksud tersebut dapat dirumuskan bahawa bahasa ialah alat komunikasi yang ada makna dan difahami oleh semua anggota dalam masyarakatnya. Merujuk negara Malaysia, penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang dapat difahami oleh setiap orang, dan lebih-lebih lagi, mereka yang berstatus warganegara Malaysia.

Di Malaysia, bahasa Melayu menjadi Bahasa Kebangsaan dan sekali gus berfungsi sebagai bahasa rasmi negara. Bahasa Kebangsaan dapat ditakrifkan sebagai bahasa yang diterima dan digunakan oleh penduduk dalam sesebuah negara. Bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia ialah bahasa Melayu. Pentakrifan bagi bahasa rasmi adalah bahasa yang digunakan dalam segala urusan pentadbiran kerajaan. Selain dua fungsi bahasa tersebut, bahasa Melayu juga berfungsi sebagai bahasa perpaduan, bahasa pengantar, bahasa ilmu dan bahasa komunikasi yang akan dijelaskan dalam hujah nanti. Persoalannya sekarang, bagaimanakah bahasa Melayu dapat berfungsi sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan, bahasa pengantar, bahasa ilmu dan bahasa komunikasi di Malaysia yang rakyatnya pelbagai kaum? Persoalan inilah akan saya jawab satu persatu dalam wacana, “Fungsi Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Bahasa Rasmi, Bahasa Perpaduan, Bahasa Pengantar, Bahasa Ilmu dan Bahasa Komunikasi Rakyat Malaysia.”

Tuan hakim yang bijaksana lagi arif.

Wacana saya yang pertama, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Tuan-tuan dan Puan-puan, ingatlah, bahasa Melayu mesti perkasa dalam negara Malaysia untuk kepentingan kebangsaan. Semangat perjuangan menuntut kemerdekaan di Tanah Melayu tercetus apabila jiwa rakyat telah timbul kesedaran untuk jadi bangsa berdaulat. Salah satu cara menjadi bangsa berdaulat ialah dengan memerintah sendiri negara tanpa dikuasai atau ditunjuki oleh penjajah. Setelah tercapainya kemerdekaan, Persekutuan Tanah Melayu memilih bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Fungsi ini telah termaktub dalam Bahagian 12 Am dan Pelbagai 152 fasal (1) Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang menyebut bahawa, "Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukan dengan undang-undang oleh parlimen." Maka terbuktilah bahawa bahasa Melayu merupakan lambang kebebasan dan kedaulatan negara daripada belenggu penjajahan. Ditinjau dalam sejarah kerajaan-kerajaan Melayu terdahulu, bahasa Melayu menjadi bahasa lingua franca. Ia digunakan oleh semua kaum untuk semua urusan pentadbiran dan perdagangan.

Sebagai sebuah negara yang pesat membangun, amat wajar sekali Malaysia mempunyai satu bahasa kebangsaan kerana bahasa kebangsaan memberi gambaran akan status sesuatu bangsa. Bangsa yang bermaruah mempunyai bahasa kebangsaan sendiri, menggunakan bahasa sendiri dan bangsanya mempunyai identiti kebahasaan sendiri. Oleh itu, untuk memupuk sifat sayangkan bahasa kita, pelbagai kempen telah diadakan seperti "Cintai Bahasa Kita", "Bahasa Jiwa Bangsa" dan sebagainya. Rakyat dari pelbagai kaum akan dapat mengenali dan mendekatkan diri dengan bahasa kebangsaan. Justeru, bahasa Melayu dengan segala sifatnya dapat menjadi pembakar semangat kebangsaan di negara ini dan menjadi satu tunggak pembinaan negara merdeka serta identiti rakyat. Kita tidak mahu bahasa Melayu dipinggirkan sebagaimana tersirat dalam Akta Pelajaran 1996 dan seterusnya dinafikan fungsi sebagai bahasa ilmu Sains dan Matematik oleh Dr. Mahathir Mohamed.

Wacana saya yang kedua, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Selain dipilih sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu juga berfungsi sebagai bahasa rasmi negara kita. Maksud bahasa rasmi ialah bahasa utama yang digunakan dalam segala urusan pentadbiran dan acara rasmi negara. Contohnya, bahasa Melayu digunakan dalam sistem pendidikan negara, urusan surat-menyurat, mesyuarat dan pentadbiran negara. Cuba kita renung, bukakan mata, celikkan minda, dalam mesyuarat-mesyuarat kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, di persidangan­-persidangan, seminar-seminar, di parlimen, bahkan dalam perbicaraan di mahkamah, mesti diutamakan penggunaan bahasa Melayu. Penggunaan bahasa selain bahasa Melayu adalah menyalahi Artikel 152 Perlembagaan Malaysia. Sesiapa yang membelakangkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi negara, termasuk pemimpin negara sekalipun, mereka adalah penjenayah negara yang mesti dihukum. Dengan hujah itu, terbukti lagi jelas dan nyata, betapa penting bahasa Melayu memainkan peranan dalam urusan pentadbiran negara.

Para hadirin yang dihormati sekalian.

Wacana saya yang ketiga, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan rakyat Malaysia. Bahasa perpaduan bermaksud bahasa yang digunakan sebagai tali pengikat kemuafakatan antara anggota masyarakat, sama ada dalam kalangan satu etnik mahupun antara etnik. Hal ini kerana, masyarakat kita adalah masyarakat majmuk yang berbeza kepercayaan, amalan, budaya, agama dan bahasa. Bahasa Melayu dapat memainkan peranan sebagai penyatu kepelbagaian tersebut melalui penggunaan bersama, atau satu bahasa untuk satu negara. Kerajaan menggalakkan rakyat menggunakan bahasa Melayu dalam semua komunikasi awam dan terbuka agar tidak timbul syak wasangka antara satu sama lain. Apabila penggunaan bersama bahasa Melayu di tempat terbuka sudah menjadi amalan, maka akan wujud kemesraan, kepercayaan, hormat dan rasa selamat. Rasa kemesraan, rasa kepercayaan, rasa hormat dan rasa selamat merupakan antara faktor yang membina perpaduan antara kaum. Dengan itu, dapatlah kita melahirkan bangsa yang bersatu dan menganggap Malaysia sebagai negara milik bersama.

Pemilihan satu bahasa kebangsaan bertujuan mencari suatu lambang penyatuan atau perpaduan. Ia memainkan peranan mengurangkan jurang perkauman, mengeratkan hubungan setiap lapisan masyarakat dalam segala bidang, bukan hanya dari segi politik, agama, perindustrian, ekonomi, kesukanan, perubatan, pendidikan malahan juga dalam komunikasi awam. Tugas bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan akan dapat diperkasakan melalui perlembagaan negara, sistem pendidikan, dasar-dasar yang dilaksanakan dan pelbagai aktiviti kempen. Justeru, ayuh, mari kita terus perjuangan yang telah lama digerakkan oleh pemimpin terdahulu demi mengangkat darjat bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca, bahasa yang menyatupadukan rakyat peJbagai kaum dalam semua bidang, bak kata perpatah, “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung,” atau “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.”

Hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian,

Wacana saya yang keempat, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara. Yang dimaksudkan sebagai bahasa pengantar pendidikan ialah bahasa yang digunakan sebagai alat perhubungan dalam pengajaran dan pembelajaran. Oleh sebab Malaysia mempunyai masyarakat berbilang bangsa, dasar pendidikan negara berusaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan, sama ada di sekolah mahupun pusat-pusat pengajian tinggi. Bahasa Melayu yang berfungsi sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan membuktikan keupayaan bahasa Melayu sebagai alat menyampaikan pelbagai ilmu untuk digunakan bagi memajukan diri, masyarakat dan negara. Penggunaannya secara tidak langsung mencerminkan ciri-ciri bangsa Malaysia yang menolak perkauman atau ketidakadilan dalam sistem pendidikan. Hal ini adalah kerana masyarakat Melayu dan bukan Melayu yang fasih bertutur dalam bahasa Melayu akan mendapat laba yang sama rata, di samping dapat menunjukkan ciri 'keMalaysiaan'. Sehingga kini rakyat Malaysia yang mendapat pendidikan rendah, menengah dan universiti dalam bahasa Melayu berjaya meraih anugerah hingga peringkat antarabangsa. Malah, ramai rakyat Malaysia yang bekerja dengan syarikat-syarikat antarabangsa, baik syarikat yang beroperasi dalam negara mahupun syarikat yang beroperasi di luar negara. Beberapa universiti di luar negara seperti di Britain, Amerika Syarikat, Russia, Thailand, Korea, Republik Rakyat China dan sebagainya menawarkan kursus major dan minor bahasa Melayu kepada mahasiswa masing-masing. Kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan diperkukuhkan lagi dengan pembinaan kerusi-kerusi pengajian Melayu di luar negara dan juga pembinaan Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Bahasa Melayu kini berada di atas landasan sempurna sebagai bahasa pengantar pendidikan. Justeru, dapat kita merumuskan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah dan institusi pendidikan tinggi.

Wacana saya yang kelima, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Bahasa Melayu adalah bahasa i1mu di Sekolah-sekolah termasuk di maktab-maktab perguruan dan universiti-universiti. Bahasa IImu pula ialah bahasa komunikasi yang bermaksud bahasa sebagai alat penyebaran, penyampaian dan penerimaan maklumat. Sebagai bahasa i1mu, bahasa Melayu banyak merakam pelbagai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang yang ditulis oleh pakar bidang berkenaan. Salah satu tujuan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ialah untuk memperkasakan bahasa Melayu. Justeru, kursus-kursus yang ditawarkan disampai dan dirakam dalam bahasa Melayu, termasuk ilmu dalam bidang Sains dan Teknologi. Sehingga kini, UKM telah mengeluarkan ramai graduan dalam bidang Sains dan teknolog dan sedang berkhidmat di pasaran. Telah sekian ramai doktor perubatan dan ahli kimia dikeluarkan dan khidmat mereka ibarat ‘duduk sama rendah berdiri sama tinggi’ dengan pakar-pakar yang mendapat pendidikan dari negara Barat. Khidmat mereka pula ‘menetaskan’ tenaga-tenaga khidmat yang lain.

Jauh sebelum itu, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu terserlah dalam bidang keagamaan seperti dalam bidang penyebaran ilmu agama Hindu-Buddha dan kemudian Islam. Tanah Melayu seperti Lembah Bujang misalnya merupakan pusat penyebaran agama Hindu-Buddha ke seluruh dunia. Setelah kedatangan Islam, bahasa Melayu terus kekal sebagai bahasa ilmu menyebar ajaran agama Islam. Walaupun agama Islam turut membawa bahasa Arab, namun penyebaran Islam di Asia Tenggara adalah menggunakan bahasa Melayu tulisan Jawi. Fungsi itu ternyata kekal sehingga kini agama Islam tersebar di Asia Tenggara dalam bahasa Melayu. Sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu mesti terus berperanan menjana pemikiran dan ilmu-ilmu baharu kepada masyarakat. Jika berlaku kekurangan hendaklah ditambah, jika berlaku kebocoran hendaklah ditampal kerana sudah menjadi kebiasaan tidak semua bahasa adalah lengkap dan sempurna. Perbendaharaan katanya perlu diperluaskan. Istilahnya perlu dilengkapkan. Setiap objek dan konsep dalam pelbagai bidang ilmu hendaklah dilengkapi dengan bahasa Melayu. Hal ini bertujuan untuk memperkasakan lagi bahasa Melayu dan menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di Asia Tenggara. Sehingga kini telah banyak istilah dan konsep ilmu diserapkan ke dalam bahasa Melayu. Misalnya, istilah dalam bidang anatomi, mikrobiologi, fisiologi, biokimia, ginekologi dan sebagainya.

Bahasa Melayu bolah menjadi bahasa ilmu kerana mempunyai ciri-ciri keintelektualan bahasa. Keintelektualan bahasa bermaksud keupayaan bahasa dalam menyampaikan buah fikiran, hujah, pendapat dengan tepat dan dapat dilenturkan dengan mudah. Bahasa Melayu juga boleh menjadi bahasa i1mu kerana mempunyai ciri-ciri kesempurnaan bahasa iaitu kestabilan seperti sistem pembentukan istilah atau konsep, dan peraturan seperti ejaan, sebutan, pemakaian, tatabahasa dan lain-lain lagi. Satu lagi ciri kesempurnaan bahasa ialah kelenturan, di mana bahasa Melayu mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran dan perubahan yang berlaku dari masa ke semasa.

Wacana saya yang terakhir, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi masyarakat. Bahasa Melayu merupakan bahasa komunikasi kerana ia dituturkan oleh semua orang dalam pelbagai lapisan masyarakat. la merupakan bahasa ibunda dan bahasa utama di Malaysia, digunakan oleh semua golongan masyarakat, tidak kira di desa atau di kota, golongan kaya ataupun miskin. Oleh sebab itu, mesej dapat disampaikan dengan mudah, tepat dan difahami oleh semua golongan masyarakat.

Sebagaimana yang telah ketahui umum bahawa bahasa Melayu, pada zaman penjajahan, telah menjadi bahasa lingua franca di setiap pelusuk Nusantara. Bahasa Melayu telah tersebar luas dari Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura hinggalah ke Brunei. Berdasarkan catatan sejarah pengembara yang melawat semenanjung Tanah Melayu dan kepulauan lain di Nusantara, seperti I-Shing, Ibn Batuta, Antonio Fegafeta dan ramai lagi, terbukti bahawa bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa utama untuk berkomunikasi seawal kurun yang ke-7 Masihi.

Kini, dengan adanya kecanggihan alat media dan komunikasi, maklumat dapat disampaikan melalui siaran-siaran radio, televisyen, internet, SMS, e-mail dan lain-lain lagi. Berkomunikasi, lisan mahupun tulisan, adalah sutu keperluan kepada setiap individu dan berkau pada setiap hari. Kini ramai yang berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu untuk tujuan melahirkan pendapat atau perasaan, adalah bukti fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi yang penting di negara ini. Dengan kata lain, bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa komunikasi apabila seseorang individu mengalami perkongsian idea, maklumat dan perasaan dengan orang lain sama ada melalui pertuturan mahupun tulisan. Dengan berbahasa Melayu, komunikasi antara manusia sejagat berlangsung dengan baik. Ia juga memudahkan penyampaian dan penerimaan maklumat. Senario ini telah memberikan satu manifestasi yang jelas, iaitu bahawa bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa komunikasi di Malaysia.

Justeru, dengan hujah dan huraian keenam-enam fungsi bahasa Melayu itu tadi, konklusinya di sini ialah pertama, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan memartabatkan lagi bahasa ibunda kita sendiri. Yang kedua, sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa utama dalam segala urusan pentadbiran dan acara rasmi negara. Yang ketiga, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan menjadi wahana perpaduan bagi menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara kita.

Seterusnya yang keempat, bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar menjadi wahana penyebaran i1mu di semua peringkat institusi pendidikan, dan sebagai lambang bahasa pengantar untuk memberi dan menimba ilmu sejagat. Rumusan seterusnya ialah bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dapat membina keintelektualan bangsa kerana keupayaannya menyampaikan buah fikiran, hujah, pendapat dan sebagainya dalam semua bidang ilmu. Dan yang terakhir, bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi, menjadi lambang pertuturan semua golongan masyarakat sama ada yang tinggal desa atau di kota, mahupun golongan kaya ataupun golongan miskin, atau pentadbir mahupun rakyat.

Hadirin dan hadirat sekalian.

Setelah frasa demi frasa tajuk pidato saya ini dikupas, maka dapatlah saya menutup rumusan bahawa bahasa Melayu memikul tanggungjawab yang besar dalam mengangkat martabat bahasa dan bangsa di tanah air tercinta ini. Oleh sebab itu, segala fungsi bahasa Melayu iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan, bahasa pengantar, bahasa ilmu dan bahasa komunikasi perlu terus didaulatkan agar keperkasaan bahasa Melayu kekal dan dikagumi.

Sebelum saya mengundur diri, saya menyusun sepuluh jari memohon maaf sekiranya ada terkasar bahasa, tersalah kata, tersilap sebut atau tercanggah gerak tangan, mulut, kepala dan mata. Saya mengakhiri pidato saya ini dengan serangkap pantun;

                       Alang-alang menyeluk pekasam,
                              Biar sampai ke pangkal lengan;
                       Alang-alang bahasa dijulang,
                              Biar kekal sepanjang zaman.

Sekian, Wabillahi Taufik WaJhidayah Wasalamualaikum Warohmatullahi Wabarokatuh.


P/S :Terima kasih kepada  Qamarul Abdullah.

Thursday 27 September 2012

KOMSAS - SAJAK MAHSURI


Mahsuri
(Zurinah Hassan)

Rangkap 1
Sajak ini  mengisahkan tentang diri Mahsuri dan sumpahannya yang menjadi lagenda di Pulau
Langkawi. Mahsuri digambarkan sebagai lambing wanita yang setia tetapi telah difitnah akibat
hasad dengki dan dendamnya terhadap orang yang menzalimi dirinya. Sumpahan dan darah
suci Mahsuri yang mengalir berwarna putih ketika dia dibunuh telah menjadi lagenda. Setelah
tamatnya tempoh sumpahan Mahsuri tujuh keturunan, kini langkawi telah membangun dengan
pesat dan maju.

Rangkap 2
Penyajak menzahirkan pertikaian beberapa pendapat tentang kewujudan Mahsuri kerana ada
yang mengatakan kisah Mahsuri hanyalah khayalan seorang seniman.Namun realitinya kisah
Mahsuri itu benar dan keunikan Mahsuri itu telah digarapkan dalam karya sastera dan akhirnya
menjadikan lagenda itu lebih mahsyur. Lagenda inilah yang menjadi batu loncatan kepada
kemajuan Langkawi. Hasil karya sastera telah memperkasa dan memartabatkan kesusasteraan
tanah air tercinta.

TEMA
Sejarah dan sastera yang begitu bernilai dan mampu menjana ekonomi Negara.

PERSOALAN
1. Persoalan fitnah dalam kalangan masyarakat. Mahsuri dihukum bunuh kesan fitnah
yang menimpa dirinya. Disebabkan itu warna darahnya yang mengalir telah menjadi
putih.
2. Persoalan sumpah dan dendam. Kezaliman yang berlaku ke atas dirinya telah
menimbulkan dendam sehingga terzahirnya sumpah Mahsuri tujuh keturunan.
3. Persoalan sastera dan sejarah. Sejarah menjadi bukti sahih yang digarapkan menjadi
hasil sastera yang bernilai.
4. Persoalan mengharumkan nama Negara di persada dunia. Lagenda Mahsuri telah
memahsyurkan nama Langkawi diserata dunia.

BENTUK SAJAK
1. Terdiri daripada dua rangkap
2. Bilangan barisnya tidak sama. Rangkap pertama ada enam belas baris manakala
rangkap kedua ada sebelas baris.
3. Mengandungi antara satu hingga enam patah kata sebaris.
4. Rima akhirnya bebas iaitu abbaccdedfaaaaba dan abbaccdeeed.
5. Sajak ini berbentuk bebas.

NADA
Melankolik.

GAYA BAHASA
1. Pemilihan kata atau diksinya indah.
Contoh : air matamu dingin embun.
2. Aliterasi :pengulangan konsonan m
Contoh : rambutmu menjadi jalur hitam (rangkap 1  baris 5)
3. Asonansi :pengulangan vokal u
Contoh : menyambut tetamu pulau
4. Metafora
Contoh : terapung di laut malam  (rangkap 1, baris 6)
5. Hiperbola
Contoh : melengkung tujuh tanjung (rangkap 1, baris 10)
                Putihlah pulau ini (rangkap 1, baris 11)
6. Sinkope
Contoh : kerana tanpamu
7. Personifikasi
Contoh : nyanyian ombak pagi (rangkap 1, baris 4)

NILAI
1. Nilai menghargai.  Sejarah dan  sastera perlu dihargai sebagai warisan negara yang
bernilai tinggi.
2. Nilai kesetiaan. Mahsuri digambarkan sebagai seorang isteri yang sangat setia kepada
suaminya.
3. Nilai patriotisme. Perasaan cinta akan sejarah dan sastera penting dalam pembinaan
negara bangsa yang berjaya.
4. Nilai kreativiti penulis.Penulis yang kreatif mampu mengolah bahan sejarah menjadi
hasil sastera yang indah.

PENGAJARAN
1. Kita hendaklah menghargai sejarah dan sastera kerana kedua-duanya mempunyai
kebaikannya kepada pembangunan negara.
2. Janganlah kita suka menfitnah seseorang tanpa usul periksa.
3. Kita hendaklah berfikiran kreatif dalam usaha merancang pembangunan negara.

Soalan
1. Nyatakan tema sajak Mahsuri.
2. Nyataka dua faktor Pulau langkawi popular sebagai destinasi pelancongan negara.

Jawapan
1. Tema sajak Mahsuri ialah sejarah dan sastera yang begitu bernilai dan mampu menjana
ekonomi negara.
2. Dua faktor Pulau Langkawi menjadi popular sebagai destinasi pelancongan negara ialah
kisah lagenda Mahsuri dan keindahan dan keunikan pulau itu.

  
Wanita ini adalah waris Mahsuri ke tujuh - Wan Aisyah namanya.